Friday, February 4, 2011

Hukum Bukan Islam masuk ke dalam Masjid

PENDAHULUAN
Ini ialah satu kertas kerja ringkas berkenaan hukum bukan Islam masuk ke dalam masjid.

LATARBELAKANG ISU

Isu ini timbul apabila seorang Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan pada 22 Ogos lalu. Lalu pada 26 Ogos JAIS memberikan amaran untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang berkaitan[1]. Bagaimanapun, beliau pada 28 Ogos telah memberikan komentar terhadap isu ini. 


Beliau mengatakan
Pada hari Ahad 22hb Ogos, saya sebagai ahli parlimen Serdang telah mengunjungi Surau Al-Huda, Kajang bertujuan untuk menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan untuk memperbaiki pagar surau, dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.
Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.
Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.
Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.

Akhir sekali, saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini.[2]

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan lagi bahawasanya individu yang sama telah melakukan aktiviti senamrobik di dalam kawasan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong[3]

Beberapa persoalan yang timbul ialah:
1.         Adakah bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid?
2.         Adakah bukan Islam boleh masuk ke kawasan masjid?

TAKRIF MASJID

Penulis tidak berhajat untuk memberikan pelbagai ta’rifan dari ramai ulama’ samada sudut bahasa dan istilah yang akan menjadikan perbahasan ini terlalu mendalam.

Dari sudut perbendaharaan Bahasa Melayu, masjid diberikan ta’rifan berikut:

  1. Rumah ibadat orang-orang Islam                    - Kamus Pelajar Edisi Kedua
  2. Bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain.- Kamus Dewan Edisi Empat
Manakala dalam bidang perundangan agama negeri-negeri memperuntukan seperti berikut:

Pulau Pinang

“Masjid” ertinya satu bangunan yang digunakan bagi maksud sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan lain yang berkaitan yang diharuskan atau dibenarkan oleh agama Islam dan termasuklah surau yang disenaraikan dalam rekod Majlis;[4]

Manakala masjid dari sudut syara’ pula ialah tempat yang digunakan secara berulang-ulang untuk menunaikan solat fardhu[5]

Dari itu, tindakan ahli parlimen Serdang untuk kali kedua ini tidak termasuk dalam isu ini kerana beliau hanya berada di kawasan luar masjid. Adapun tindakan kali pertama beliau adalah berkait terus dengan kertas kerja ini.

PANDANGAN GOLONGAN YANG MEMBENARKAN

  1. Fatwa Sheikh Azhar Sheikh ‘Athiyyah Saqr pada Mei 1997[6]
  2. Lajnah Daaimah Lil Buhuth al-‘Ilmiah wa al-Ifta[7]( Diketuai Sheikh Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baaz)
  3. Majlis Fatwa Kebangsaan[8]
  4. Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darul Salam[9] 
  5. Sheikh Mohd Soleh Munjid[10]
  6. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan[11]
  7. Datuk Harun Taib Ketua Dewan Ulama Pas[12]
  8. Dr Mohd Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Negeri Perlis[13]
PANDANGAN GOLONGAN YANG TIDAK MEMBENARKAN

  1. Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)[14]
HUJAH GOLONGAN YANG MEMBENARKAN

Imam Bukhari meletakkan satu bab yang khas berkenaan dengan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid iaitu pada bab berkenaan masjid pada sub topik ke 48. Iaitu:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال بعث النبي صلى الله عليه وسلم خيلا قبل نجد فجاءت برجل من بني حنيفة يقال له ثمامة بن أثال فربطوه بسارية من سواري المسجد
 فخرج إليه النبي صلى الله عليه و سلم فقال ( ما عندك يا ثمامة ) . فقال عندي خير يا محمد إن تقتلني تقتل ذا دم وإن تنعم تنعم على شاكر وإن كنت تريد المال فسل منه ما شئت. فترك حتى كان الغد,
فقال ( ما عندك يا ثمامة ) . فقال ما قلت لك إن تنعم تنعم على شاكر فتركه حتى كان بعد الغد,
فقال ما عندك يا ثمامة فقال عندي ما قلت لك فقال ( أطلقوا ثمامة ).
فانطلق إلى نخل قريب من المسجد فاغتسل ثم دخل المسجد فقال أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله يا محمد والله ما كان على الأرض وجه أبغض إلي من وجهك فقد أصبح وجهك أحب الوجوه إلي والله ما كان من دين أبغض إلي من دينك فأصبح دينك أحب دين إلي والله ما كان من بلد أبغض إلي من بلدك فأصبح بلدك أحب البلاد إلي.....[15]

Abu Hurairah meriwayatkan bahawasanya Nabi s.a.w telah menghantar satu ketumbukan[16] tentera berkuda menuju Najd dan menawan Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di salah satu tiang masjid Nabi s.a.w.
Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?”

Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau  meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”.

Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi SAW bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.

Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi SAW bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”.

Lalu Nabi SAW memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.

Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, dahulu tiada wajah di atas muka bumi yang lebih aku benci daripada wajah engkau, sekarang engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi...”

Menurut Ibn Athir, Thumamah ketika itu masih belum memeluk agama Islam.[17]

Imam Muslim menyebutkan keharusan untuk membawa masuk bukan Islam ke dalam masjid. Dalam Mazhab Syafi’e harus dengan keizinan daripada orang Islam (iaitu situasi sekarang lebih selari dengan maksud ahli jawatankuasa masjid-pen) samada ahli kitab atau selainnya.

Umar bin Abdul Aziz[18], Qatadah dan Malik mengatakan tidak boleh. Imam Abu Hanifah mengatakan hanya ahli kitab sahaja yang boleh masuk ke dalam masjid.[19]

 
HUJAH GOLONGAN YANG TIDAK MEMBENARKAN

Hujah pertama

Golongan ini berdalilkan kepada firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 28:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Jawapan:

Ibn Kathir mengatakan maksud إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ ialah dari sudut pegangan mereka.[20] Imam Alusi juga berpandangan sedemikian tetapi Ibn ‘Abbas mengatakan fizikal mereka adalah najis. [21]. Sayed Qutb sependapat dengan Ibn Kathir dan al-Alusi dengan mengatakan ia bermaksud najis ma’nawi[22]

Hujah kedua

Orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dalam masjid dan surau apatah lagi di ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.[23]

Jawapan:

Imam az-Zarkasyi menyebut dalam kitabnya I’lam as-Saajid Bi Ahkam al-Masaajid
Harus bagi bukan Islam masuk ke masjid dan menanti atau berdiam diri di dalamnya walaupun dalam keadaan mereka berjunub. Ini berdalilkan kepada kaum musyrikin di zaman Nabi SAW masuk ke dalam Masjid Nabawi dan tanpa keraguan lagi pada mereka orang yang berjunub. [24]

Mengqiaskan bukan Islam dengan wanita haidh penulis kirakan tidak tepat kerana:
1.      Illah (sebab) larangan wanita masuk ke masjid (bagi yang berpegang kepada pandangan tersebut. Wujudnya larangan tersebut bukan hanya sekadar ta’abudi, bahkan kerana sebab tertentu) adalah kerana kotoran yang dikhuatiri mengotorkan masjid tidak sama dengan bukan Islam. Sebagaimana disebut oleh jumhur ulama’ bahawasanya ia bukan bermaksud najis zahiriah tetapi berbentuk ma’nawi. Tetapi wanita yang yang haidh, ia bermaksud najis zahiriah.
2.      Adapun berkenaan junub (Sekiranya berpegang kepada pandangan bukan Islam dikira sebagai berjunub), ia telah ditakhsiskan keharusannya oleh perbuatan nabi SAW yang membawa masuk Thumamah bin Uthal al-Hanafi ke dalam Masjid Nabawi.


Hujjah ketiga

Orang musyrikin adalah dikira sebagai najis zahiriah. Ini berdalilkan kepada hadis Nabi SAW:
عن هشام بن عروة عن أبيه عن جده قال : « استقبل رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل عليه السلام فناوله يده فأبى أن يتناولها فقال : يا جبريل ما منعك أن تأخذ بيدي؟ فقال : إنك أخذت بيد يهودي فكرهت أن تمس يدي يداً قد مستها يد كافر فدعا رسول الله صلى الله عليه وسلم بماء فتوضأ فناوله يده فتناولها»[25]

Daripada Hisham bin ‘Urwah, daripada ayahnya daripada datuknya meriwayatkan Baginda SAW berjumpa dengan Jibril lalu menghulurkan tangan tetapi Jibril menolak untuk bersalaman dengan Nabi SAW. Nabi SA bertanya “Wahai Jibril, apa yang menghalangi kamu daripada bersalaman dengan aku?” Lalu Jibril menjawab “ Sesungguhnya engkau telah berjabat tangan dengan yahudi dan aku tidak suka bersalaman dengan tangan yang sudah bersentuhan dengan tangan orang kafir” Nabi SAW meminta untuk disediakan air lalu Baginda SAW berwudhu’ lalu mereka bersalaman”

Jawapan

1.      Status hadis ini Maudhu’:
2.      Jalan periwayatan hadis di atas diambil oleh Hisham dari jalan (thariq) Abu Hafs ‘Umar bin Abi ‘Umar al-‘Abdiy:
a.       Berikut adalah pandangan Ulama’ tentang beliau:
                                                              i.      Sheikh Albani: Disepakati kelemahannya (dha’ifnya)
                                                            ii.      Al-Haithami: terlibat (dengan penipuan hadis-pen)
                                                          iii.      ‘Amru bin ‘Ali al-Fallas: beliau adalah dajjal.
                                                          iv.      Saaji: periwayatannya banyak baathil dan munkar.
                                                            v.      Adz-Dzahabi: Beliau mempunyai periwayatan yang baatil.[26]

Hujah keempat

Hasan al-Basri ada menyebutkan
قال الحسن البصري[27] : من صافح مشركاً فليتوضأ.[28]

Hasan al-Basri berkata : Barangsiapa yang bersalaman dengan orang musyrik, maka hendaklah dia berwudhu’

Manakala Ibn ‘Abbas pula meriwayatkan daripada Rasulullah SAW
عن ابن عباس[29] رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم " من صافح مشركا فليتوضأ أو ليغسل كفيه"[30]
Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan Baginda SAW bersabda “Barangsiapa yang bersalaman dengan orang musyrik, maka hendaklah dia berwudhu atau membasuh kedua tangannya’

Jawapan:

1.      Penulis tidak menemui status hadis di atas.
2.      Untuk athar at-tabi’en Hasan al-Basri, ia adalah menurut pandangannya dan bukan hadis kerana Hasan al-Basri tidak pernah berjumpa dengan Nabi SAW sewaktu hayat Baginda SAW. Adapun athar daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas boleh diihtimalkan hadis kerana Ibn ‘Abbas adalah sahabat, cuma penulis tidak menjumpai statusnya.
3.      Penulis tidak berhajat untuk membincangkan tentang adakah pandangan para sahabat itu adalah wajib diikuti ataupun tidak. Ini kerana ia akan melibatkan perbahasan usul Fiqh yang panjang dan rumit untuk difahami. Dari itu, penulis mencadangkan kepada para pembaca yang mampu untuk memahami bahasa arab membaca buku-buku di bawah.
a.       قول الصحابي عند الأصوليين لفضيلة الشيخ الدكتور علي جمعة
b.      البحر المحيط في أصول الفقه للزمخشري
Secara ringkas penulis katakan bukan semua perkataan sahabat (dan tabi’en) itu wajib diikuti tetapi harus untuk dijadikan hujjah bagi sandaran hukum.

Hujjah kelima

Firman Allah Ta’ala dalam Surah at-Taubah ayat 17:

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ
Allah berfirman, maksudnya: "Tidaklah boleh orang musyrik itu memakmurkan masjid Allah sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Inilah orang yang sia-sia pekerjaannya, dan mereka kekal dalam neraka."
 
Jawapan:
Yang dimaksudkan dengan مَسَاجِدَ اللَّهِ ialah: Masjid al-Haram. Inilah pandangan al-Imam az-Zamkhsyari[31] dan Ibn Kathir[32]
PANDANGAN YANG LEBIH TEPAT

Penulis berpandangan bukan Islam TIDAK WAJAR dihalang (patut diberikan keizinan) untuk masuk ke dalam masjid dengan syarat-syarat berikut:
  • Mendapat keizinan daripada ahli jawatankuasa masjid
  • Berpakaian sopan
Bahkan penulis mencadangkan agar mereka diajak dan didekatkan dengan masjid agar dekat hati mereka untuk memahami dan memeluk agama Islam.

TENTANG ISU INI

Akhbar Utusan membangkitkan beberapa isu di bawah:

1.         Teo Nie Ching masuk di dalam masjid.
Penulis mengirakan ia sudah selesai dengan perbahasan ringkas seperti di atas. Ia juga barangkali boleh dikuatkan lagi dengan kenyataan Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Ia hanyalah masalah teknikal pentadbiran dan adab-adab sahaja, bukan masalah berkenaan hukum keharusannya. Beliau mengatakan
” Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau.
“Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.
” Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di sini hari ini.[33]

2.         Teo Nie Ching melakukan aktiviti di kawasan masjid.
Penulis mengirakan persoalan ini terjawab dengan jawapan yang diberikan oleh Pengarah JAIS sendiri. Beliau mengatakan
Dalam pada itu, Mohammed Khusrin menyatakan orang bukan Islam hanya boleh melawat kawasan masjid atau surau tetapi tidak boleh memasuki ruang solat rumah ibadat berkenaan.[34]

NASIHAT

1.         Sewajarnya kepada beliau dan semua saudara-saudara bukan Islam yang lain menghormati status kawasan masjid. Tidak wajarlah seseorang itu memakai pakaian yang kurang sopan samada di dalam masjid atau sekitar kawasannya. Islam menghormati hak berpakaian agama masing-masing, begitu juga kepada saudara-saudara bukan Islam sewajarnyalah memakai pakaian yang sopan sebagai menghormati hak saudaranya.
2.         Menyeru kepada semua pihak terutamanya pihak yang membangkitkan isu ini agar menyerahkan urusan hukum hakam ini kepada orang yang berhak dan selayaknya. Jangan menjadikan ilmu tentang hukum hakam Islam yang penuh dengan disiplin ini sebagai ruang menonjolkan kejahilan dan kebodohan masing-masing dalam agama.
3.        Menyarankan kepada semua institusi agama seperti masjid, persatuan-persatuan agama dan majlis-majlis agama agar mengadakan seminar ataupun forum separuh hari berkenaan isu di atas. Pembentangan haruslah bersandarkan kepada hujah ilmiah bukan semangat ta’asub kepartian.
4.        Kerajaan Malaysia melalui JAKIM telahpun menggerakkan kesemua jentera yang untuk menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan[35]. Cuma diharapkan kepada pihak yang terbabit janganlah kerana terlalu obses mengejar matlamat tersebut, fungsi sebenar masjid ditinggalkan.Dari itu, janganlah kerana mencari keuntungan politik yang dangkal seperti ini, Islam dilihat kolot.

Mohamad Ridhauddin bin Mohd Salleh
4.04 pagi
31 Disember 2010-12-31
Perpustakaan rumah


[1]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0827&pg=mh_02.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&y=2010
[2] http://www.themalaysianinsider.com/breakingviews/article/isu-surau-al-huda-teo-nie-ching/
[3]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
[4] Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993m Bahagian 1 bab tafsiran
[5] Lihat tulisan Dr Salih bin Ahmad al-Ghazali di laman sesawang http://islamtoday.net/bohooth/artshow-86-127705.htm
[6] 8/492
[7]http://www.alifta.net/Search/ResultDetails.aspx?lang=ar&view=result&fatwaNum=&FatwaNumID=&ID=2054&searchScope=3&SearchScopeLevels1=&SearchScopeLevels2=&highLight=1&SearchType=exact&SearchMoesar=false&bookID=&LeftVal=0&RightVal=0&simple=&SearchCriteria=phrase&PagePath=&siteSection=1&searchkeyword=216175216174217136217132032216186217138216177032216167217132217133216179217132217133217138217134#firstKeyWordFound
[8] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelancong-bukan-islam-memasuki-masjid-dan-ruang-solat-utama-di-dalam-masjid
[9]http://www.sabah.org.my/mns/allPDF/soaljawab/HUKUM%20ORANG%20BUKAN%20ISLAM%20MEMASUKI%20MASJID.pdf
[10] http://www.islam-qa.com/ar/ref/2192
[11] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-aziz-pertahan-kenyataannya-bukan-islam-boleh-masuk-masjid/
[12]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0829&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm&arc=hive
[13] http://drmaza.com/home/?p=1219
[14]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0827&pg=mh_02.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&y=2010
[15] Sahih: Sahih Bukhari 4/1589 hadis nombor 4114, lihat juga 450, 457, 2290 dan 2291.
[16] Ialah sepasukan atau sekumpulan tentera bawah perin­tah seorang mejar jeneral. Lihat Kamus Pelajar edisi ke-2.
[17] Asad al-Ghabah Fi Ma’rifati as-Sahabah,1/156.
[18] Tafsir al-Quran al-Azhim Li Ibn Kathir 2/346.
[19] Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim, 6/214 pada mensyarahkan hadis ke 3310.
[20] Tafsir al-Quran al’Azhim 2/346.
[21] Tafsir Ruuh al-Ma’ani Lil Imam Alusi
[22] Tafsir Fi Dhzilal al-Quran, 191.
[23]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0827&pg=mh_02.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&y=2010
[24] Mukasurat 318
[25] Tafsir al-Alusi, 7/199
[26] Silsilatu Ahadith adh-Dha’ifati wa al-Maudhu’ah Li asy-Sheikh Albani, nombor 5329, lihat juga al-Fawaaid al-Majmu’ah Fi al-Ahaadith al-Maudhu’ah Lil Imam Muhammad bin ‘Ali asy-Syaukani, 1/7-8 mengatakan ‘Umar ialah perawi yang matruk dan Majma’ az-Zawaaid wa Manba’ al-Fawaaid Lil Haithami, 1/246.
[27] Atau namanya Hasan bin Yasar al-Basri, lahir di Madinah pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab, tahun 21H. lihat al-Waafi Bil Wafiat.
[28] Tafsir al-Bahru al-Muhith Li Ibn Hayyan, 6/141, Jaami’ul Ahkam Lil Qurthubi, 1/2402.
[29] Merupakan sahabat Nabi, lahir 3 tahun sebelum Hijrah. Berumur 13 tahun sewaktu kawafatan Nabi SAW. Lihat al-Isti’ab FI Ma’rifati al-Ashab Lil Ibn ‘Abdul Barr, 1/284.
[30] Tafsir Ruuhul Ma’ani Lil Alusi,7/199.
[31] Al-Kasyaf¸189.
[32] 2/340.
[33]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0828&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm&arc=hive
[34]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0827&pg=mh_02.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&y=2010
[35] http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=3176

No comments:

Post a Comment