Thursday, May 5, 2011

MENENTANG PENGGABUNGAN PAS DAN UMNO IALAH KHAWARIJ?


Berikut adalah sebahagian daripada isi buku “PAS BUKAN KHAWARIJ” (masih dalam penulisan). Penulis luncurkan awal untuk bacaan semua pihak memandangkan ia memerlukan penjelasan segera.  Sebarang komentar samada kesilapan atau kelemahan mohon dipanjangkan kepada ulamakselangor@gmail.com



 "Menentang perpaduan UMNO PAS ialah pengkhianat Islam..."

Hal ini boleh dilihat dalam kenyataan yang dibuat oleh Mufti Perlis, Dr Juanda Mat jaya sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 4 Mei 2011. Berikut adalah laporan tersebut:

"Pihak-pihak yang menentang penyatuan antara UMNO dan Pas sebagai pengkhianat Islam..." 


Selain itu beliau berkata, ."..mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam..."


“Penyatuan (UMNO dan Pas) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Terbaharu Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya Pas meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam Juanda berkata, al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan Islam perlu ditegakkan. 


Katanya, ia jelas melalui petikan firman Allah ayat 13 surah Asy-Syura yang bermaksud “Tegakkanlah pendirian agama dan jangan kamu berpecah belah”.


“Junjungan besar Rasulullah SAW juga sebelum wafat sempat berwasiat menyuruh semua umatnya bersatu di bawah satu imam dan jangan berpecah belah,’’ katanya lagi.[1]

Kenyataan oleh Mufti berkenaan dengan penyatuan ini dilihat selari dengan kenyataan yang terlebih dahulu dibuat oleh Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas kepada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei 2011. Kenyataan itu berbunyi :


"Parti Progresif Penduduk (PPP) menyokong penyatuan UMNO dan Pas yang dilihat lebih memberi kebaikan pada perjuangan bangsa, agama dan negara berbanding gabungan parti pembangkang sekarang. Pakatan yang disertai Pas dilihat hanya bermain wayang kulit dengan meletakkan matlamat semata-mata untuk merampas kuasa sahaja. PPP bersetuju dengan penyatuan itu. Jika Pas ikhlas memperjuangkan Melayu dan Islam, mereka mereka mesti bekerjasama dengan UMNO. Demi rakyat, penyatuan perlu dilihat tetapi jika hendak kuasa sahaja, teruskan bersama DAP. Sebanyak 25 peratus ahli PPP terdiri daripada orang Melayu tiada masalah dengan penyatuan itu. Keseluruhan ahli kami yang berjumlah setengah juta orang juga bersetuju dengan penyatuan yang dilihat lebih baik bagi masa depan negara,"  [2]



JAWAPAN

1.         Keraguan terhadap laporan berita  

Perkara pertama yang terlintas di minda penulis selepas membaca laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh tersebut ialah keraguanApakah benar seperti itu kenyataan daripada Mufti?


Ini kerana, kunjungan penulis ke laman-laman sesawang berita yang lain tidak menemui sebarang sumber seperti itu kecuali Utusan Malaysia sahaja. Namun, melihatkan kepada respon yang diberikan oleh Setiusaha akhbar Menteri Besar Kelantan[3], mantan Mufti Perlis[4] dan rasa tanggungjawab untuk menjelaskan perkara ini kepada khalayak umum (memandangkan Utusan Malaysia dibaca oleh khalayak umum) agar tidak menyalahtanggap PAS ini sebagai Khawarij, maka penulis mengambil inisiatif untuk tetap membincangkan perkara ini.

2.         Bezakan penyatuan ukhuwwah dan penyatuan ideologi

Penulis sependapat dengan mantan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin yang menyatakan kepada Malaysiakini.com pada 4 Mei 2011 seperti berikut:


"Dakwaan 'pengkhianat Islam' hanya boleh diterima pakai untuk pihak yang membenci kepada perpaduan umat Islam dan bukan terhadap penentang penyatuan Umno dan PAS..."


Katanya, demi keseimbangan politik negara, adalah lebih baik bagi Umno dan PAS meneruskan perjuangan masing-masing.


"Saya tidak fikir asimilasi parti ke dalam parti yang lain yakni PAS menjadi Umno, Umno menjadi PAS akan membuahkan hasil keseimbangan politik dalam negara kita.


"Kalau PAS menjadi Umno, Umno menjadi PAS nanti tidak akan ada keseimbangan parti politik. Apa yang akan ada hanya kerakusan kuasa dan wewenang (hak dan kekuasaan untuk berbuat sesuatu atau untuk mengeluarkan perintah),”


"Kita kena tengok dulu apa maksud penyatuan itu, jika penentangan itu dibuat memang kerana dia membenci penyatuan orang Islam dalam erti kata ukhwah ummat Islam kerana dia tidak suka lihat orang islam berpadu maka kenyataan itu boleh diterima pakai..."


"Tetapi terdapat kemungkinan bahawa sesetengah pihak itu tidak menentang penyatuan umat Islam, tetapi mungkin dia ingin melihat adanya kepelbagaian di dalam politik dan keseimbangan politik kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi."


"Tidak salah untuk PAS dan Umno cuba mencari titik persefahaman atas isu-isu kepentingan sama yang boleh memartabatkan syiar Islam di negara ini. Ini boleh dilakukan tanpa mana-mana parti melepaskan agenda politik masing-masing dalam membela rakyat..."


"Bersatu ini boleh jadi dalam prinsip-prinsip Islam, bersatu dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama..."


"PAS dan Umno mesti menghubungkan diri di antara satu sama lain di atas dasar ukhwah Islamiah. Bagaimanapun jangan menafikan peranan parti-parti ini untuk melakukan check and balance dalam pentadbiran negara..."


"Saya berharap PAS dan Umno mempunyai hubungan ukhwah Islamiah persaudaraan Islam, hormat menghomati sebagai Muslim, tahu hak-hak antara satu sama lain sebagai Muslim..."


“Tetapi dalam masa yang sama ia tidak menafikan untuk mereka berbeza dalam politik dan sentiasa menjadi pengimbang antara satu sama lain dalam politik,”

Penulis juga mendapati tujuan utama yang berbahagia Mufti Perlis melontarkan idea tersebut adalah untuk mencari persepakatan sesama muslim untuk kebaikan umat Islam dan rakyat Malaysia. Satu idea yang murni yang diberikan perhatian oleh semua pihak. Ini berdasarkan kepada kenyataan beliau kepada Malaysiakini bertarikh 4 Mei 2011yang menyebut:

"(Ia) penyatuan dalam erti kata kerjasama dalam urusan kepentingan Islam dan negaraDuduk semeja, kurang maki (sesama lain), kurang politiking, tumpu pada kepentingan rakyat dan negara."[5]

Penulis berpandangan bahawasanya PAS tidak pernah melupakan dasar ukhuwwah sesama muslim dengan melupakan agenda politiknya untuk kemaslahatan umat Islam dan rakyat Malaysia. Sekadar menyatakan beberapa bukti sebagai pembuktiaan kepada kenyataan berikut:

 1.        Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


Muqabalah (perbincangan) di antara pemimpin PAS dan Umno boleh diadakan bagi mencari kaedah satu parti sahaja bagi orang Islam dan Melayu di negara ini. [6]


"Ini kerana PAS telah lama berjuang di atas landasan Islam. Saya pun tak faham mengapa orang Umno tidak mahu menyertai PAS, apa yang tidak kena bagi Umno tehadap PAS.


"Sedangkan kita terima hakikat bahawa Islam mesti diutamakan.


Sekiranya ahli Umno segan untuk menyertai PAS lebih baik menubuh parti baru yang juga berlandas Islam.Keinginan Umno mengajak PAS bermuzakarah boleh dilakukan sekiranya ia hanya berkaitan Islam..."


Bahkan Tuan Guru juga mencadangkan agar ditubuhkan sahaja parti baharu yang menggabungkan UMNO dan PAS yang berlandaskan prinsip Islam dan kenyataan itu disokong oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat dengan mengatakan


"Saya amat menyokong sekiranya Umno dan PAS bubar dan kita tubuh satu parti baru dan parti tersebut hendaklah berlandaskan Islam," katanya.[7]


Ini menunjukan betapa TIDAK  ta’asubnya pimpinan PAS terhadap politik kepartian sehingga sanggup untuk mencadangkan agar dibubarkan parti sendiri untuk mencari kesepakatan dengan saudara seislamnya.

2.         Gerabak Keretapi Tanah Melayu (KTM

Sebagaimana yang diketahui umum, KTM telah mewujudkan gerabak yang khas untuk wanita pada tahun lalu (May 2010)[8] dan PAS sebagai Parti Islam langsung tidak memprotes bahkan menyokong perkara ini  kerana ia merupakan kemaslahatan kepada umat Islam dan rakyat Malaysia. Ketua penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyebut dalam kenyataannya kepada Harakahdaily:


PAS mengucapkan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter.

“Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam di negara ini,” Katanya, PAS amat menyokong langkah itu kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak.
Malah, ujarnya langkah itu dapat mengurangkan masalah gangguan seksual kepada penumpang wanita.


“Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakkan wanita di tempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaik-baiknya.
“Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai,” ujarnya lagi.
Menurutnya, perkara itu sudah lama dilaksanakan di luar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah.
Justeru, tambahnya, PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.
PAS, ujarnya berharap inisiatif itu juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita di tempat awam dapat dikurangkan di  samping meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.[9]

3.         Mengecam Pencerobohan Israel Ke Atas Wilayah Palestin Di Gaza[10]

Sekiranya diteliti isu ini juga menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia tidak mengira latarbelakang politik mahupun agama bersepakat untuk mengecam Israel terhadap kekejaman mereka. Hal ini (melihat kepada fokus utama perbincangan ini ialah UMNO dan PAS) juga boleh dilihat persepakatan antara kedua-dua parti ini.

Dengan merujuk kepada laporan sidang Parlimen Kedua Belas Penggal Pertama Sidang Khas , Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Y.A.B. Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Presiden UMNO) telah membentangkan cadangan usul ini di Dewan Rakyat pada  Isnin 12 Januari 2009 dengan menyatakan:


"Saya berterima kasih atas keprihatinan Ahli-ahli Parlimen Malaysia tidak mengira agama, bangsa atau haluan politik yang bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di hati rakyat Malaysia iaitu penderitaan semasa yang dialami rakyat Palestin dan masa depan keamanan dan keselamatan bagi negara Palestin (Halaman 1) untuk diperbahaskan."

Maka, antara yang menyertai perbahasan tersebut ialah Ahli Parlimen Marang (Presiden PAS) Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan menyebut:


Pertama saya mengucapkan syabas kerana sidang khas yang diadakan pada petang ini walaupun kita sedang bertanding di Kuala Terengganu, tetapi kita bersatu di sini.


Pada hari penamaan calon saya bermukabalah dengan Yang Berhormat Jelebu, Menteri Luar berbincang betapa perlunya kita mengadakan pendirian yang bersama kerana masalah ini masalah kemanusiaan dan masalah kebinatangan. Berlakunya tindakan-tindakan yang di luar perikemanusiaan, pembunuhan yang kejam tanpa batas terhadap kanak-kanak, orang tua, orang awam yang uzur yang tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan dan tidak boleh ambil apa tindakan yang sepatutnya. Bahkan dalam kajian haiwan ada binatang yang bersimpati kepada yang kecil dan yang tua. Tindakan yang berlaku di Gaza adalah satu tindakan yang sangat melampau dan tidak boleh diizinkan oleh masyarakat antarabangsa dan kita adalah sebahagian daripada masyarakat antarabangsa. Oleh kerana itu kita lupakan pertelingkahan cabang, pertelingkahan pandangan dalam beberapa isu tetapi dalam perkara naluri kemanusiaan kita wajib bersatu. Langkah kita ini bukan fanatik kepada kaum walaupun kita menyedari bahawa ada negara yang dipengaruhi oleh Zionis meluluskan undang-undang anti semantic seolah-olah tidak boleh anti terhadap kaum Yahudi.  (Halaman 13)


Apa yang penting ialah kita memainkan peranan yang pro aktif dalam pertubuhan antarabangsa ini. Sama ada melalui kita sendiri negara Malaysia ini termasuk secara kolektif melalui rakan-rakan dalam negara berkecuali (NAM) untuk mengambil satu tindakan yang sebaik-baiknya bagi memulihkan bangsa-bangsa bersatu itu sendiri.


Sangat malu bagi kita yang berjiran yang hampir dengan Palestin kepada Venezuela yang jauh daripada Palestin dan mengambil tindakan yang berani memutuskan hubungan menghalau duta Israel .Di sana ada negara-negara yang masih malu-malu kucing terhadap Amerika Syarikat. Apa kita gerun dengan Amerika Syarikat? Dunia telah membuktikan kezaliman tidak akan kekal dan kezaliman tidak mengekalkan sesuatu kuasa besar dalam sejarah dunia. (Halaman 14).


Dalam hal ini Insya-Allah kami akan bersama-sama dengan kerajaan untuk turun ke padang sama ada untuk menggerakkan rakyat dalam negara kita di kalangan semua kaum untuk tunjuk kepada dunia luar kita boleh bersatu dalam perkara yang menjadi titik persamaan antara kita. Hari ini kita dalam satu barisan dan satu pakatan. Saya mencadangkan supaya pihak kerajaan mengambil satu tindakan yang lebih tegas untuk membolehkan tindakan yang sewajarnya terhadap jenayah yang dilakukan oleh pengganas yang bersifat negara. Bukan lagi pengganas individu pengganas yang bersifat state maka satu tindakan yang perlu diambil. Kedua, mencabuli undang-undang hak asasi manusia. Ketiga, mencabuli undangundang kemanusiaan antarabangsa. Keempat, mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kelima, melanggar dan memijak Konvensyen Geneva. Ini satu perkara yang jelas, yang nyata, yang tidak boleh di selindung lagi. Apa yang penting, selepas ini kita bergerak bukan saja di Parlimen, kita bergerak mengikut kemampuan kita masing-masing dan terima kasih. Saya menyokong usul ini. (Halaman 15) [11]


Adapun perbezaan pandangan dan tindakan oleh UMNO dan PAS yang dilihat oleh sesetengah orang sebagai negatif hakikatnya merupakan satu proses check and balance dalam negara.


Sekadar memberikan beberapa bukti secara ringkas, lihatlah kepada pejuangan PAS untuk membela peneroka FELDA dengan menubuhkan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK)[12]. Hasilnya peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 mendapat semula hak mereka yang selama ini dinafikan oleh FELDA[13].

Selain itu peneroka Felda Kemahang 3 juga kembali mendapat hak mereka yang telah dinafikan sebanyak RM 11.3 juta. Jumlah tuntutan semua peneroka FELDA di seluruh Malaysia yang belum selesai berjumlah RM 90juta.[14] Selain itu, PAS juga menubuhkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) untuk menghapuskan saman ekor yang jelas membebankan pengguna. Ini ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan ekoran mempunyai saman ekor.[15] Ini ditambah lagi dengan kenyataan daripada Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof yang menyatakan bahawasanya 10 juta notis saman yang masih belum berbayar dengan jumlah berbilion ringgit.[16] Hasinya, Polis akan menambahbaik cara pengurusan saman ekor ini dengan menyertakan bukti saman tersebut beserta gambar.[17] Walaupun ini belum lagi dikira sebagai mencapai matlamat, namun ia adalah kejayaan pertama KASE untuk kebaikan rakyat Malaysia.

Sekiranya ada yang mengatakan bahawasanya
“Tengok, UMNO kata kat PAS, PAS kata kat UMNO, bila nak selesai?”
“Tengok orang UMNO dan PAS asyik nak bergaduh jer bila mai kat pilihanraya”
 Penulis merasakan harus dilihat perkara itu secara objektif. Iaitu, jangan kerana satu tindakan yang tertentu yang bercanggah dengan adab-adab Islam dilakukan oleh pengikut tertentu, maka parti itu dilabelkan sebagai haram.

Pengharaman dan penghalalan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada dasar organisasi tersebut dan cara mereka mencapai dasarSebagaimana penulis mendapati yang berbahagia Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pada 31 mac 2011 sebagaimana dilaporkan dalam laman Malaysiainsider.com tidak bersetuju dengan pengharaman poco-poco hanya kerana beralasankan beberapa pergerakan di dalamnya menyerupai agama Kristian dan mempunyai beberapa unsur-unsur ritual agama tersebut[18]. Yang berbahagia Dr Juanda ada menyebut:


Sehubungan itu Juanda berkata, beliau juga khuatir dengan kecelaruan akibat tidak jelas metodologi dalam menggubal hukum dan fatwa.


“Akibat fatwa poco-poco, habislah semua yang macam ada kaitan dengan agama lain akan haram selepas ini."


“Pulut kuning macam Hindu, kungfu macam Tao, huruf ‘T’ macam Kristian, bintang macam Yahudi, pasang api macam majusi, pesta air macam Buddha Thailand dan lain-lain lagi,” katanya sambil menambah, suasana makin bercelaru akibat tidak jelas metodologi “buat hukum dan fatwa.”[19]

Atas analogi yang sama, sekiranya benar ada dari kalangan pendokong PAS berbuat sesuatu perkara atau kenyataan yang bercanggah dengan agama, maka sewajarnyalah kesalahan itu diletakan di atas bahunya. Bukan diharamkan dan dikhawarijkan PAS secara total.
PAS tidak pernah mengajarkan ahli-ahli untuk berbuat sesuatu yang bercanggah dengan agama. PAS mendidik ahlinya utnuk berpegang teguh dengan agama. Ini berdasarkan perlembagaan PAS fasal 7 berkenaan hukum dan kekuasaan.

Namun, bagaimana pula dengan UMNO yang dasar dan prinsip yang mereka dokong?
Apakah selari dengan Islam?
Apakah ahli UMNO dididik dengan pentarbiahan Islam?

3.         Penulis berpandangan bahawasanya ajakan ini hanya bersifat mainan bibir pimpinan UMNO yang jelas tidak mahu bersatu di atas prinsip Islam. Ini boleh dilihat daripada kenyataan Presiden Malaysian Chinese Association (MCA) yang dilaporkan oleh New Straits Time bertarikh 5 Febuari 2011 menyebut seperti berikut:


The MCA is not opposing any possible cooperation between Umno and Pas for the sake of Malay-Muslim unity. However, party president Datuk Seri Dr Chua Soi Lek said Pas had to first set aside its agenda to turn the country into an Islamic state before it could sit down and talk with Umno about any possible return to the Barisan Nasional fold.


"The MCA does not see any harm in Umno and Pas cooperating but its stand is very clear. The MCA will not accept any policy on the creation of an autocratic and theocratic Islamic state, as wanted by Pas.


"The prime minister is fully aware of our stand on the matter of Pas rejoining BN," said Dr Chua at the end of the three-day MCA National Leaders Brainstorming Camp in Ayer Keroh, here, yesterday.

Walaupun kenyataan ini dikritik oleh salah seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi dengan menyebutkan:


Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek tidak sepatutnya meletakkan syarat agar Pas mengetepikan agenda negara Islamnya terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sebarang cadangan membawa parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN). Ini kerana kenyataan tersebut dilihat boleh membantutkan usaha penyatuan antara Pas dan UMNO yang begitu diharapkan oleh umat Islam dan orang Melayu di negara ini. Perkara tersebut sepatutnya tidak berbangkit kerana soal penyatuan perlu dilihat dalam konteks lebih luas dan bukan semata-mata membabitkan soal agama.


‘‘Saya tidak setuju dengan kenyataan Presiden MCA itu yang meletakkan syarat tersebut kerana cadangan itu adalah soal kebijaksanaan para pemimpin UMNO untuk berbincang dengan Pas dan perpaduan tersebut adalah baik untuk keamanan dan keharmonian dan tiada sesiapa yang rugi kalau negara kita aman,” katanya.[20]
Namun penulis percaya ia tidak akan mengubah sikap UMNO terhadap PAS untuk betul-betul serius bersama mempertahankan agama.

4.         Penulis menyeru kepada semua pihak khususnya golongan agamawan agar meneliti sesuatu perkara itu dari segenap aspek keilmuan dan suasana. Ini kerana, dengan hanya memahami fiqh nusus dan zahir keadaan sahaja tidak cukup untuk memahami maksud sebenar kenyataan organisasi ‘lawan’.

Dari itu, untuk memahami maksud tersebut, harus diteliti sejarah kenyataan mereka, memahami bahasa politik, memahami konteks kenyataan itu dikeluarkan dan sebagainya. Semua ini dapat diperolehi daripada pembelajaran dan pengamalan ilmu sains politik. Kelompangan memahami gaya dan lenggok tarian‘lawan’ hanya akan membuatkan umat Islam mengulangi kesilapan lampau.

Hampir semua umat Islam di dunia tidak bersetuju dengan perjanjian perdamaian antara Kerajaan Fatah dan Israel, namun setiap kali dibunyikan semboyan perjanjian keamanan samada tajaan Amerika atau bukan, maka setiap kali itulah mereka akan bersetuju. Ini membuatkan mereka hanya akan mengulangi kesilapan demi kesilapan.

Namun, secara zahirnya bukankah ajakan kepada perdamaian merupakan arahan Allah dan wajib untuk diikuti berdalilkan kepada ayat Allah :

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآَخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ*  وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ*


Maksudnya:
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya. Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.                                                                                             (Surah al-Anfal: 60-61)

Apakah kami masih Khawarij?

Dari itu, penulis dengan penuh rendah hati, memohon agar semua pihak khususnya golongan agamawan agar berhati-hati dalam memberikan kenyataan dan hukuman terhadap PAS khususnya dalam waktu-waktu yang getir seperti ini agar pendokong-pendokong tegar untuk mendaulatkan Islam ini merasa aman untuk berjuang.

Dengan penuh hormat kepada yang berbahagia SS tuan Mufti Negeri Perlis, Dr Juanda Jaya, sekiranya benar begitu kenyataannya, penulis memohon agar ia ditarik balik.

Mohamad Ridhauddin



[1]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
[2]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm
[3] http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/3099-mca-penentang-islam-sebenar-pejabat-mb-kelantan
[4] http://www.malaysiakini.com/news/163248
[5] http://www.malaysiakini.com/news/163257
[6] Tetapi idea ini tidak selari dengan pandangan Mufti Perlis, individu utama yang menjadi perbincangan di sini. Lihat http://www.malaysiakini.com/news/163257
[7] http://www.harakahdaily.net/v2//index.php/arkib-selangor-darul ehsan/index.php?option=com_content&task=view&id=16030&Itemid=50
[8] http://pmr.penerangan.gov.my/chainmorad/?p=782
[9] http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26313:gerabak-wanita-pas-ucap-tahniah-kepada-ktmb&catid=1:utama&Itemid=50
[10] http://web10.bernama.com/palestine/detail_bm.php?lang=&id=383100
[11] Sila rujuk http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-12012009.pdf
[12] http://anak-anakfelda.blogspot.com/
[14]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_24.htm
[15] http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28431:tandatangan-online-sokong-hapus-saman-ekor&catid=1:utama&Itemid=50
[16] http://www.bharian.com.my/articles/10jutasamanekortakdilayan/Article/
[17] http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PDRMkeluarnotissamanbersertagambarkenderaan1Meiini/Article
[18] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/poco-poco-pusat-juga-perlu-transform-agensi-agama-kata-mufti-perlis/
[19] Ibid
[20]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm

No comments:

Post a Comment