Saturday, July 2, 2011

BERSIH 2.0: MENJAWAB MAINAN UMNO


Ada membaca akhbar Berita Harian semalam (30 Jun 2011)?

Tajuk hadapannya berbunyi BERSIH cetus anarki.

Kenyataan Ketua Polis Negara

Dengan penuh menghormati beliau sebagi Ketua Polis Negara, kritikan ini tidak akan sesekali bertujuan menghina beliau, tetapi satu luahan pandangan penulis terhadap sikap provokasi yang melampau dari pihak berkuasa.

Di pihak berkuasa akan sentiasa melaungkan bahawasanya mereka mendapat maklumat ada agen komunis meresap ke dalam BERSIH[1].

Di pihak badan politik UMNO dan konco-konconya sentiasa membuat provokasi menakut-nakutkan rakyat[2]. (Untuk bacaan lanjut berkenaan perkara ini, pembaca boleh lihat di sini[3])

Maka, di pihak unit agama UMNO dan kerajaan pun beramai-ramai mengharamkan BERSIH 2.0 kerana semua laporan-laporan di atas. Antara illah (sebab) pengharamannya ialah akan mewujudkan kekacauan, menyusahkan para pemandu teksi, menyebabkan ramai tidak dapat keluar bekerja, bahkan akan menumpahkan darah[4]. Dengan kelemahan untuk memahami bahasa dan seni politik, maka segelintir golongan agamawan terus dibuai dengan laungan provokasi pihak terbabit dan membenarkannya seterusnya membenarkan kerajaan yang zalim terus menapakkan diri mereka di pundak kuasa.

Maka, dengan semua adunan-adunan di atas, lengkap percaturan UMNO menakut-nakutkan rakyat dan mengharamkan BERSIH 2.0.

KHUATIR PROVOKASI, BUKAN FAKTA.

Penulis melahirkan rasa kerisauan kerjasama baik secara tersembunyi antara pihak berkuasa seperti polis dengan pihak UMNO di atas nama Kerajaan Malaysia akan memunculkan semua perkara yang tidak harmoni sebagaimana disebutkan di atas.

Penulis juga percaya, SEKIRANYA berlaku seperti perkara di atas, semua pihak akan menundingkan jari kepada pihak BERSIH. Padahal dalam BERSIH yang lalu, tidak ada sebarang kerosakan yang dilakukan oleh pihak pendemonstrasi, kecuali yang dibuat sendiri oleh pihak polis. Ini kerana kami di ajar untuk beradab dalam berdemonstrasi, jangan melakukan perkara-perkara yang haram dan merosakan harta benda awam. Itu pegangan kami.

Objektif kami jelas, menghantar memorandum kepada Yang di Pertuan Agong.

Apa besar sangatkah kesalahan kami?

Penulis percaya, semua pihak sudahpun mengambil pengajaran daripada bersih tahun 2007 yang lalu. Penulis khuatir, pihak-pihak tertentu (yang bukan dari pihak BERSIH) dengan berpakaian preman berbaju kuning dengan ada posh bag dengan ikatan di bahagian lengannyalah yang akan melakukan kerosakan dan pelbagai provokasi.

Penulis ulangi, penulis khuatir.

Kerana diketahui umum, nothing in politics happen by accident.

Lalu, apa yang akan dikritik oleh pihak agamawan

“Tengok, sebab itu Islam mengharamkan demonstrasi”

Aduh, sayangnya dikau, menghukum bukan pada kejadian yang sebenar.

Penulis ingin memberikan contoh satu provokasi yang bukan hakikat sebenar yang berlaku oleh pihak berkuasa tertentu. Ini bagi membuktikan kritikan penulis bukan omongan kosong. Para pembaca harus peka dengan tarikh-tarikh yang penulis hitamkan. Tidak ada satu pun sumber rujukan penulis diambil daripada pihak pembangkang. Ini bagi menjamin ketelusan dalam kritikan penulis.

Pada 4 MAC 2008 5:05pm sebagaimana yang dilaporkan di Utusan online menyebutkan seperti berikut[5]:

PUTRAJAYA 4 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan penggunaan dakwat pada kuku semasa pengundian pada pilihan raya umum 8 Mac ini dibatalkan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di sini yang turut dihadiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Padahal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telahpun bersetuju menggunaka dakwat pada kuku semasa pengundian pada peringkat awalnya iaitu pada 2 JUN 2007 dengan mengatakan[6]:
PUTRAJAYA 1 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan pembaharuan pada pilihan raya umum ke-12 dengan memperkenalkan peti undi lut sinar dan titik dakwat atas kuku pengundi bagi mengelakkan penipuan.
Katanya, kedua-dua langkah terbaru itu bertujuan untuk memperlihatkan ketelusan di kalangan pengundi dan parti yang bertanding.
 “Mengenai sistem titik dakwat pula, meskipun SPR pada dasarnya telah bersetuju tetapi ia masih tertakluk pada hasil kajian memandangkan cadangan itu tertakluk kepada undang-undang pilihan raya.
“Jika sempat, kita akan cuba laksanakannya pada pilihan raya umum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Namun, hasil dapatan terhadap ‘kajian’ SPR terhadap penggunaan dakwat ini boleh didapati dalam laporan yang dibuat oleh BERNAMA bertarikh 5 MAC 2008 seperti berikut[7]:

KUALA TERENGGANU, 5 Mac (bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi, merupakan satu langkah tepat.
    Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan itu dirasakan perlu bertujuan mengelak berlakunya kekecohan dan ketegangan pada hari pengundian SABTU INI!!![8]
    Beliau berkata ini kerana jika cadangan itu teruskan, berkemungkinan  pihak tertentu akan mensabotajnya, sekali gus menafikan hak pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
    "Pembatalan itu kerana ada dua kemungkinan, berlaku sabotaj...maknanya ada pihak-pihak boleh mempengaruhi sesetengah pengundi untuk menggunakan dakwat yang hampir sama, dengan pelbagai alasan.
    "Dengan ini, mereka tidak layak mengundi, kalau tidak layak mengundi, kita menafikan hak mereka mengikut perlembagaan negara dan ini akan timbul banyak kececohan dan ketegangan pada hari mengundi," katanya.
    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis peneroka bersama pemimpin dan pelancaran Felda residence di sini hari ini.
    Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kini dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu.
    Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Idris Jusoh dan Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
    Semalam, SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada kuku pada  pilihan raya umum 8 Mac ini.
    Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata laporan keselamatan yang diterima SPR mendedahkan terdapat pihak tertentu di Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara.
    Pihak itu dikatakan merancang mencalitkan dakwat itu pada kuku pengundi bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

Namun, lihat pula laporan berikut. Ia bertarikh 6 MEI 2008 dilaporkan oleh Utusan Malaysia[9].

KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis tidak menemui sebarang bukti terdapat individu yang membawa masuk dakwat penanda kuku dari Thailand untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke- 12.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu, polis telah mem- buka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan berikutan terdapat laporan daripada beberapa individu bahawa dakwat itu telah dibawa masuk dari Thailand.
''Polis telah menemu bual pengadu serta saksi-saksi, didapati tiada sebarang bukti menunjukkan dakwat tersebut dibawa dari Thailand.
''Ini kerana tidak ada sebarang saksi pun yang pernah melihat dakwat tersebut dan daripada keterangan saksi, tiada sebarang individu, sindiket atau pihak-pihak tertentu yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP- Batu Gajah) yang ingin tahu hasil siasatan ekoran pembatalan penggunaan tanda dakwat kuku semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan tanda dakwat di kuku pada pilihan raya umum lepas berikutan terdapat laporan bahawa beberapa individu mengimport dakwat itu untuk ditandakan kepada kuku pengundi.
Syed Hamid memberitahu, keterangan pengadu dan saksi adalah merupakan khabar angin dan tiada sebarang individu yang dicam atau dikenali secara positif.
Jelasnya, kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 14 Mac lepas dan pada 21 Mac kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut dan kertas untuk simpanan (KUS).

Wahai para pembaca sekalian,

Waahi golongan agamawan sekalian,

Adakah anda tidak nampak provokasi dan mainan pihak mereka ini?

Anda pula menghukum orang yang inginkan keadilan bagi pihak mereka….

Orang yang berjuang atas titik demokrasi ini dengan penuh kepercayaan terhadap sistemnya, namun dipermainkan semahunya.

Sekarang, apabila mereka menuntuk keadilan di pihak mereka, anda mengharamkannya?

Penulis tidak mengatakan semua kenyataan pihak berkuasa bohong, namun dalam isu yang UMNO mempunyai kepentingan, penulis mempunyai kekhuatiran tersebut.

SEMALAM[10] ( 30 Jun 2011)

Keluar lagi kenyataan yang hampir senada dengan SPR tahun 2008 yang lalu, tetapi kali ini dari pihak Polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam mendedahkan hasil risikan dan penilaian polis mendapati perhimpunan haram yang dirancang beberapa pihak pada 9 Julai ini bukan saja boleh mencetuskan huru-hara serta kemusnahan harta benda dan kecederaan, malah mungkin membabitkan kehilangan nyawa.
Beliau berkata, polis menerima maklumat ada pihak tertentu dan anasir asing cuba mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi situasi itu bagi mencetuskan anarki di negara ini.

 “Berdasarkan fakta serta keadaan semasa, situasi kini mempunyai potensi dan kebarangkalian yang dominan untuk mengganggu kehidupan masyarakat.
“Situasi demikian
jika tidak ditangani segera dan berkesan, boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Perhimpunan haram anjuran BERSIH itu menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak kerana PERKASA dan Pemuda UMNO juga merancang mengadakan perarakan pada hari sama bagi menentang tindakan BERSIH.


“Saya tidak akan benarkan segala bentuk perhimpunan, kita tahu ratusan ribu orang dipanggil ke Kuala Lumpur dan ini membuka ruang untuk mencetuskan pergaduhan, huru-hara dan mungkin kehilangan nyawa.
“Kita juga sudah menerima laporan sesuatu hendak berlaku (kekacauan), ini tanda-tanda menunjukkan keamanan boleh tergugat, polis kena bertindak cepat,” katanya.
Ismail bagaimanapun menafikan dakwaan pembangkang kononnya polis akan mengisytihar darurat pada 9 Julai ini.


Beliau juga menegaskan polis akan menahan sesiapa saja yang mempamerkan apa-apa perkataan atau lambang yang menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai ini.
“Bukan saja baju, kereta, bas, kasut, seluar dan apa saja yang berbau hasutan akan ditangkap di bawah undang-undang yang boleh diguna pakai,” katanya

Anda nampak apa konflik rakyat Malaysia sekarang?

“Orang mukmin tidak akan masuk ke lubang biawak dua kali”

Salahkah kami untuk meragui sumber tersebut?

SELAMAT MEMBERSIH!!




[4] Merujuk kepada temubual Kerusi Panas di BERNAMA radio 93.9 bermula jam 6.30-7.30 petang bersama dengan Ulama’ Muda UMNO, merangkap Pensyarah di Fakulti al-Quran dan Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Fadhlan Othman. Lihat juga http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm

[5]http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=PR11&y=2008&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm
[6]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm&arc=hive
[7] http://blis.bernama.com/getArticle.do?id=16058&tid=84&cid=2
[8] Pilihanraya umum ke-12 bertarikh 8 Mac 2008.
[9]http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0507&pub=utusan_malaysia&sec=parlimen&pg=pa_01.htm&arc=hive
[10] http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BERSIHcetusanarki/Article/

No comments:

Post a Comment